[TERBAIK] ~HASAN MALEK GESA CONTOHI PENGUSAHA CENDOL, TURUN HARGA 20SEN SELEPAS MINYAK NAIK 20SEN~ PANAS TAK??

[TERBAIK] ~HASAN MALEK GESA CONTOHI PENGUSAHA CENDOL, TURUN HARGA 20SEN SELEPAS MINYAK NAIK 20SEN~ PANAS TAK??

 


Datuk Seri Hasan Malek meminta peniaga agar mencontohi pengusaha cendol di Kuala Selangor yang menurunkan harga sebanyak 20 sen selepas kerajaan mengurangkan subsidi bahan api baru-baru ini.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan itu berkata, perkara ini dikesan semasa pihaknya mengadakan 75,851 pemeriksaan di seluruh negara untuk memantau harga barangan bermula 2 hingga 12 Oktober lalu.

"Pengusaha ini menurunkan harga cendolnya 20 sen. Tindakan itu sepatutnya dicontohi pengusaha atau peniaga lain dan bukan mengambil kesempatan di atas pengumuman pengurangan subsidi berkenaan," katanya seperti dilaporkan Harian Metro hari ini.

"Pemeriksaan dilakukan di premis perniagaan dan pasar. Sepanjang pemeriksaan memang ada kes atau aduan kenaikan harga barangan, tetapi tidak banyak, malah ada yang menurunkan harga seperti dilakukan pengusaha cendol di Kuala Selangor."

Tindakan Putrajaya mengurangkan subsidi bahan api berkuatkuasa 2 Oktober lepas menyebabkan harga RON 95 meningkat daripada RM 2.10 kepada RM2.30 seliter manakala harga diesel pula meningkat daripada RM2.00 kepada RM2.20 seliter.

Pemotongan subsidi RON 95 dan diesel itu merupakan sebahagian daripada program rasionalisasi subsidi Putrajaya – mengundang kemarahan ramai pihak yang bimbang ianya akan menyebabkan peningkatan harga pelbagai barangan dan keperluan.

"Cendol Bakar" di Kuala Selangor sememangnya terkenal dan menjadi tarikan orang ramai untuk datang menikmati sajian tersebut.

Sejak kenaikan harga RON 95 dan diesel, pengusaha cendol tersebut mula menawarkan promosi dengan menurunkan harga cendol jualan mereka.

Ia juga turut dipaparkan melalui iklan yang berbunyi:" Minyak naik 20 sen seliter? Kami turun harga 20 sen semangkuk."

Sebelum ini pengusaha tersebut menjual cendol dengan harga RM2.20 bagi semangkuk. Selepas RON95 dan diesel naik sebanyak 20 sen, mereka mengurangkan harga cendol mereka kepada RM2.00 semangkuk.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika mengulas tindakan Putrajaya mengurangkan subsidi RON95 dan diesel menjelaskan kerajaan sebelum ini menanggung subsidi sebanyak 83 sen seliter bagi RON95 dan RM1 seliter bagi diesel.

Beliau menjelaskan pengurangan subsidi sebanyak 20 sen ini bermakna kerajaan masih menanggung subsidi sebanyak 63 sen seliter bagi RON95 dan 80 sen seliter bagi diesel.

Menurut perdana menteri, langkah pengurangan subsidi itu bertujuan memastikan ia sampai kepada kelompok sasaran memandangkan subsidi ketika ini dinikmati oleh semua lapisan masyarakat termasuk mereka yang kaya dan warga asing.

Berkenaan kawalan harga barang asas semasa sambutan perayaan Deepavali Hasan berkata, kementeriannya juga menetapkan 14 jenis barangan melalui Skim Harga Barang Kawalan selama 10 hari bermula 18 hingga 27 Oktober.

"Tahun ini, harga ayam dan kacang dal lebih murah berbanding harga skim sama tahun lalu iaitu RM3.30 berbanding RM3.50 bagi kacang dal manakala harga ayam turun daripada RM7.70 kepada RM7," katanya.


SUMBER
[TERBAIK] ~HASAN MALEK GESA CONTOHI PENGUSAHA CENDOL, TURUN HARGA 20SEN SELEPAS MINYAK NAIK 20SEN~ PANAS TAK?? [TERBAIK] ~HASAN MALEK GESA CONTOHI PENGUSAHA CENDOL, TURUN HARGA 20SEN SELEPAS MINYAK NAIK 20SEN~ PANAS TAK?? Reviewed by Unknown on Wednesday, October 15, 2014 Rating: 5

No comments