LUAHAN HATI SEDIH SEORANG BANDUAN DI PENJARA



Hasrat seorang banduan untuk menghadiahkan bantal peluk yang dijahit sendiri kepada anak kesayangan sempena hadiah Tahun Baharu Cina tidak kesampaian apabila ahli keluarga yang dinanti tidak kunjung tiba.

Lebih pilu apabila melihat banduan lain bergembira dan berpeluang memeluk dan mencium isteri serta anak-anak membuatkan Lee, 38, (bukan nama sebenar) tidak dapat menahan kerinduannya terhadap insan tersayang.

Lee antara tujuh banduan di Penjara Seremban yang terpilih untuk bertemu dengan ahli keluarga sempena program Jalinan Kasih Tahun Baru Cina diadakan, semalam.

Menurut Lee, isterinya tidak dapat hadir kerana mempunyai tanggungjawab lain yang perlu diselesaikan.

“Saya tahu isteri saya kini sibuk kerana dia perlu bekerja untuk menyara dua orang anak saya berusia enam dan empat tahun.

“Saya memang tidak sabar mahu memberi hadiah bantal peluk ini kerana pertama kali saya belajar menjahit. Tapi saya sedih kerana mereka tidak dapat datang,” katanya.

Dia yang dijatuhi hukuman penjara selama empat tahun kerana kesalahan mencuri kereta berkata, dia kini insaf dan berjanji tidak akan mengulangi kesilapan yang dilakukan itu.

Sementara itu, Liew, 26, (bukan nama sebenar) berkata, saat dapat memeluk serta mencium anaknya pada perjumpaan itu adalah sesuatu yang sukar digambarkan.

“Sepanjang 10 bulan saya berada di sini, tiap-tiap bulan keluarga saya dari Kuala Lumpur akan datang melawat saya.

“Tetapi perasaan itu berbeza pada hari ini kerana kami bukan sahaja dapat berbual-bual, tetapi saya juga dapat memeluk anak yang dirindui dan menjamu selera bersama keluarga,” katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengarah Penjara Seremban, Mohd Hafizey Yahaya berkata, banduan yang berkelakuan baik, berdisiplin dan tidak melanggar peraturan sepanjang menjalani hukuman layak dipilih bagi mengikuti program berkenaan.

“Program ini dapat memberi peluang kepada banduan untuk bertemu ahli keluarga pada musim perayaan. Saya berharap perjumpaan ini tidak disia-siakan kepada banduan ini serta dapat memberi keinsafan kepada mereka,” katanya.
SUMBER
LUAHAN HATI SEDIH SEORANG BANDUAN DI PENJARA LUAHAN HATI SEDIH SEORANG BANDUAN DI PENJARA Reviewed by Anonymous on Friday, October 10, 2014 Rating: 5

No comments