LUAHAN BAPA MURID ISU SOALAN UPSR BOCOR
LUAHAN HATI BAPA MURID ISU SOALAN UPSR BOCOR DIKONGSI 5,000 PENGGUNA FACEBOOK | Petang tadi anak saya yang kelapan bertanya: "pa betul ke soalan sains bocor, Shira dengar kawan-kawan beritahu soalan sains bocor". Satu soalan pendek tetapi sukar juga untuk menjawabnya. Saya hanya beritahu: "esok Shira pergi aje ke sekolah, kalau ada periksa jawab elok-elok". Anak pun mengangguk sahaja dengan penjelasan yang tidak menepati pertanyaan.
Begitulah dunia kanak-kanak hari ini. Mereka juga bermaklumat. Mereka boleh akses maklumat di hujung jari seperti orang dewasa. Anak kelapan saya memiliki kemahiran yang luar biasa dalam ilmu IT ini. Apa-apa sahaja barang elektronik seperti telefon bimbit, laptop atau apa jua gajet, mampu digunakanannya. Kita terkial-kila membaca "command" atau buku manual, tetapi anak hanya tekan sana sini sudah selesai.
Sudah lapan daripada sembilan anak saya menduduki UPSR. Seingat saya baru kali ini kes soalan UPSR bocor. Soalan PMR dan SPM telah acap kali bocor. Semasa Cambridge yang menyediakan soalan peperiksaan untuk negara kita, tidak pernah ada kes kebocoran soalan kerana tingginya integriti orang putih. Kanak-kanak yang masih mentah terpaksa berdepan dengan tekanan psikologi yang tinggi, Terutama jenis ibubapa yang terlalu mengharapkan kejayaan cemerlang dan luar biasa dari anak sekecil ini.
Saya sebenarnya tidak pernah pedulikan peperiksaan UPSR ini. Sedikit pun saya tidak ambil peduli berapa A yang bakal diperolehi oleh anak-anak. Ayat-ayat mudah saya katakan pada anak-anak, jika semua A pun bukan boleh terus masuk universiti. Semua subjek dapat A pun akan masuk tingkatan satu terlebih dahulu. Begitu juga dengan PMR. Saya juga tidak memberikan apa-apa tekanan pada anak-anak.
Jadi, anak-anak saya secara santai menduduki peperiksaan UPSR dan PMR. Sebabnya saya dan isteri tidak sedikit pun memberi tekanan kepada mereka. Mereka terlalu kanak-kanak untuk dipaksakan dengan kejayaan yang bukan-bukan. Sejujurnya saya mahu anak-anak membesar dengan cara semula jadi (natural), seperti zaman saya membesar dahulu. Biar mereka hidup dengan realiti zaman kanak-kanaknya.
Sistem pendidikan di negara ini telah meragut dan merampas zaman kanak-kanak secara keseluruhannya. Bertambah malang jika kedua ibubapa juga berperangai menekan anak-anak untuk lulus cemerlang. Pada mereka anak-anak yang cemerlang peperiksaan adalah kebanggaan kedua ibubapa, walaupun akhlaknya kurang cemerlang. Yang penting mereka berjaya dengan barisan semua A atau "straight A". A adalah pengukur kecemerlangan walaupun akhlak tidak menjadi.
Perlu diingat, anak-anak bukan robot. Anak-anak kita adalah manusia yang punya jiwa dan perasaan. Jika mereka masih kanak-kanak, maka perasaan keanak-anakan itulah yang menjadi realiti hidup mereka. Sistem pendidikan kita hari ini mengajar kanak-kanak menjadi tua sebelum masanya. Zaman kanak-kanak mereka dirampas secara zalim dan kejam bersandarkan kecemerlangan akademik dan "straight A".
Saya mendidik anak-anak dengan cara purba dan konservertif iaitu membiarkan kesemua anak-anak membesar secara "natural" seperti saya dibesarkan. Saya biarkan mereka bermain hujan dan panas. Mereka boleh bermain di longkang sambil tangkap ikan longkang dan banyak lagi kehidupan kanak-kanaknya dilayan seadanya. Mereka hidup santai dan ceria. Apabila mendudki peperiksaan mereka tetap berjaya cemerlang. Kesemua yang menduduki UPSR, PMR dan SPM berjaya dan cemerlang.
Kesemua mereka masih di bangku sekolah. Lima orang yang telah mendudki SPM, kini berada di universiti dalam dan luar negara di dalam pelbagai bidang profesional seperti perubatan, arkitek, kejuruteraan dan pensyarah. Yang sulung sedang menghabiskan pengajian sarjana. Saya tidak pernah menekan mereka di peringkat UPSR dan PMR. Jika mereka mahu tuisyen saya hantar, jika mereka tidak mahu, belajar sahaja di rumah. Mereka bebas memilih untuk belajar kelas tuisyen dan tiada paksaan.
Saya hanya fokus ketika di peringkat SPM. Di peringkat ini saya ingatkan mereka supaya lebih fokus pada masa depan. SPM adalah penentu untuk memasuki lebuhraya pendidikan peringkat tinggi. Bermula dengan diploma hingga ke peringkat doktor falsafah (Phd), itulah jalur pendidikan peringkat tinggi. Saya selalu ingatkan bahawa universiti berada di dalam diri, bukan di sekolah yang mereka duduki.
Sebab itu, sedikit pun saya tidak pernah ambil kisah tentang sekolah berasrama penuh. Ada anak-anak yang dapat memasuki asrama penuh untuk pengambilan tingkatan satu dan empat, tetapi mereka tidak pergi. Setakat ini, hanya anak ke empat memasuki tingkatan empat di asrama penuh dan anak ketujuh memasuki ketika tingkatan satu. Bukan kehendak saya dan isteri, tetapi itu kehendak dan pilihan mereka sendiri.
Maknanya kejayaan bukan di sekolah, tetapi di dalam diri mereka sendiri. Mereka yang mengurus kejayaan dengan bimbingan dan sokongan kita sebagai ibubapanya. Saya dan isteri sentiasa sibuk dengan tugasan kerja rasmi, Di waktu antara maghrib dan isyak ketika di bilik solat, saya bertanyakan tentang persekolahan mereka. Itu sahaja masa yang saya ada untuk memberi dorongan kepada mereka. Tetapi setiap malam kami bersolat hajat untuk kejayaan ahli keluarga. Inilah kekuatan luar biasa yang tiada tolok bandingnya.
Apabila terdengar cerita dan terbaca berita di dalam media sosial tentang soalan bocor, terfikir oleh saya soalan bocor atau integriti segelintir orang yang diamanahkan itu yang bocor. Kenapa boleh bocor. Ababila bocor mesti ada orang yang kena dipertanggungjawabkan di atas kebocoran ini. Kes seperti ini tidak sepatutnya berlaku. Kes ini lebih kepada bocor atau ketirisan integriti mereka ini. Antaranya pencetak soalan, segelintir pegawai di Lembaga Peperiksaan KPM dan juga pegawai yang diamanahkan di Bilik Kebal setiap Pejabat Pendidikan Daerah (PPD). Saya bukan menuduh, tetapi kebocoran pasti bermula dari salah satu lubang di situ.
Agak lama juga saya bekerja di KPM Putrajaya. Sedikit sebanyak perkara-perkara dasar seperti ini saya tahu juga. Isunya lebih kepada integriti pegawai yang diamanahkan menggubal soalan, pencetak yang diamanahkan mencetak soalan dan pegawai yang diamanahkan menjaga Bilik Kebal. Mereka ini perlu dipertanggungjawab terlebih dahulu. Mereka telah mengharubirukan suasaa ketenangan murid yang sedang menduduki UPSR. Kurang sungguh integriti segelintir mereka yang diamanahkan terhadap perkara-perkara yang sulit seperti soalan peperiksaan ini.
Namun begitu, kelihatan anak saya rileks dan santai sahaja. Sebabnya tiada apa-apa tekanan dari kami sebagai ibubapa kepadanya. Kami biarkan dia membesar dengan dunia kanak-kanaknya tanpa dirampas dengan meletakkan harapan yang menggunung tingginya. Sedangkan dia hanya seorang kanak-kanak. Saya mahu kesemua anak saya menikmati zaman kanak-kanaknya sebaik mungkin. Harapan yang terlalu tinggi menjadi tekanan kepada anak-anak kita. Mereka akan stress. Bertambah stress jika peperiksaan ditangguhkan.
LUAHAN BAPA MURID ISU SOALAN UPSR BOCOR
Reviewed by Anonymous
on
Monday, September 15, 2014
Rating:
Post a Comment